I recently discovered an interesting website www.ikdn.gov.my by the Ministry of Home Affairs, and later realised that it was a brainchild of our Home minister Dato' Seri Hishamuddin Tun Hussein.
You should log on the website to read the news, and also to participate in the surveys with a few very good questions posted for Malaysians to answer.
A wise move indeed by the ministry! Check it out!
Temubual Eksklusif Bersama Tan Sri Lee Lam Thye (TS) Berkaitan Kutipan Pendapat Portal Berita iKDN Terhadap Lima Soalan Undi Lanskap Keselamatan di Malaysia
Editor iKDN | 8 Ogos 09 7.11am
S1: 97% pengundi yang mengundi di portal ikdn telah memilih jawapan rasa tidak selamat dengan lanskap semasa Malaysia? Apakah pendangan Y. Bhg Tan Sri yang menyebabkan peratus tidak selamat itu tinggi?
TS: Ia soal persepsi. Saya tidak hairan pun kerana persepsi di kalangan publik ini terjadi kerana ia berasaskan kepada dua perkara.
Iaitu persepsi sebegitu berpunca dari membaca berita jenayah. Tidak ada hari yang berlalu tanpa jenayah yang berlaku dan mereka sendiri suatu ketika pernah menjadi mangsa, atau sahabat handai atau ahli keluarga yang jadi mangsa penjenayah.
Kesemua yang berlaku ini membina persepsi yang tidak selamat. Apatah lagi dengan banyak kejadian ragut yang berlaku. Bahkan pengumuman oleh YAB Perdana Menteri yang menjadikan usaha memerangi jenayah jalanan sebagai KPI…NKRA dan janji mengurangkan kadar jenayah ini kepada 20% memberi tahu sesuatu kepada orang ramai.
S2: Bermakna kita perlu menghentikan berita-berita jenayah dari disiarkan jika ianya boleh menyebabkan orang ramai rasa takut. Komen Tan Sri?
TS: Saya mempunyai pandangan saya sendiri akan soalan ini. Jika berita-berita jenayah ini tidak dilaporkan atau tidak disiar dengan niat untuk mengubah persepsi orang ramai tadi…ia telah meyimpang dari niat kita yang mahukan ketelusan.
Menjadi tugas dan tanggungjawab media untuk melaporkan, polis menangkap dan memberkas penjenayah adalah berita yang perlu dimaklumkan kepada orang ramai. Jadi kita tidak boleh menyekat penyiaran berita-berita jenayah, kita tidak boleh halang media dari tidak melaporkan.
Cuma pihak media janganlah mengambil kesempatan dengan mensensasikan satu-satu kejadian jenayah. Kalau terlalu banyak sensasi ia memberi kesan yang lain kepada publik.
Bila tajuk dan caption yang digunakan boleh menimbulkan sensasi itulah yang kita tidak mahu. Tanggungjawab media untuk melapor tetapi mestilah berdasarkan fakta dan rasa tanggungjawab.
S3: Benarkah Tan Sri bahwa hanya Malaysia sahaja yang berhadapan dengan isu jenayah ini dan ianya bukan isu global. Saya bertanya begini kerana berdasarkan pilihan tertinggi pengundi mereka tidak bersetuju bila dikatakan isu jenayah adalah isu global dan Malaysia tidak bersendirian dalam masalah ini
TS: (Ketawa) Saya puji KDN (Kementerian Dalam Negeri) kerana menjalankan kaji selidik ini. Satu tindakan yang berani.
Dari respon dapat kita tahu majoriti yang masuk mengundi telah melahirkan rasa tidak selamat mereka. Berbagai-bagai tafsiran boleh dibaca…boleh dibuat. (Ketawa) Kita harus akui jenayah berlaku di seluruh dunia.
Kita harus terima hakikat ini. Selagi ada manusia…manusia yang ada niat baik dan niat jahat, jenayah akan terus berlaku. Jadi apabila 78% pengundi tidak bersetuju dengan pandangan jenayah adalah isu global dan Malaysia bukan satu-satunya negara yang berhadapan dengan isu ini, saya kira orang ramai perlu rasional, waras dan logik.
Seperti yang saya katakan selagi ada manusia jenayah adalah isu yang tidak mungkin berakhir. Jenayah tidak berlaku di Malaysia sahaja.
Orang ramai sendiri perlu memainkan peranan dalam memastikan keselamatan mereka sendiri. Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (YPJM) bermisi untuk menyedarkan orang ramai, suri rumah, pelajar agar tidak menjadi mangsa penjenayah…kami telah mengedar risalah, flyers dan sebagainya….
S4: Tapi Tan Sri, saya berfikiran kaedah mengedar bahan-bahan bercetak seperti itu tidak berkesan kerana maaf cakap Tan Sri…membaca bukan budaya masyarakat kita.
TS: Betul…saya setuju…itu sikap tidak bagus. Pengalaman saya sendiri semasa di pusat membeli belah.
Risalah, flayers dan bahan bercetak kita agihkan kepada orang ramai, kita buat mudah dan ringkas agar orang ramai dapat meluangkan masa untuk membaca panduan dan maklumat yang kita berikan tetapi amat dukacita…orang ramai tidak berminat dan lebih malang bahan-bahan bercetak tu dibuang di sana sini. Pembaziran bagi YPJM.
Bukan mudah untuk kita mencari rakan korporat untuk menaja percetakan itu. Kita sudah menyediakan maklumat kepada orang ramai bagaimana mereka boleh menyelamatkan diri mereka sendiri…orang ramai sepatutnya mengambil tanggungjawab untuk menjaga diri mereka sendiri.
Masyarakat mungkin taksub kepada sesuatu yang tidak betul…tetapi jenayah isu global adalah hakikat.
Saya anggap pemikiran bahwa jenayah bukan isu global dan Malaysia satu-satunya negara yang berhadapan dengan masalah ini adalah satu pemikiran yang sangat berat sebelah.
Saya anggap pemikiran ini ‘very biased view’. Orang ramai terbawa-bawa sehingga tidak dapat berfikir secara rasional.
S5: Tapi Tan Sri, orang ramai berpandangan pihak polis bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga keselamatan mereka kerana polis telah dibayar gaji?
TS: Itu satu lagi sikap tidak bagus dan saya tidak bersetuju.
Memang tugas polis menjaga ketenteraman awam, melindungi orang ramai, tapi hakikatnya kita tahu di mana-mana tempat kita berada kita berhadapan dengan kemungkinan jenayah.
Kita tidak mempunyai anggota polis yang mencukupi untuk menjaga setiap ruang dan sudut.
Sejak kebelakangan ini kita juga sedang mengalami tahap pertambahan penduduk yang tinggi.
Jumlah anggota polis kita juga perlu seimbang dengan pertambahan ini dan tidak mudah untuk menyediakannya dalam masa yang singkat.
Langkah KDN mempelbagaikan fungsi ahli RELA dan JPAM seperti yang diumumkan oleh Menteri Dalam Negeri, Dato’ Seri Hishammuddin Tun Hussein satu tindakan yang baik.
Sebagai orang ramai kita tidak boleh meletak ekspetasi yang tinggi, yang tidak logik… kerana polis tidak boleh berada di satu-satu tempat 24 jam.
Orang ramai perlu juga tahu tanggungjawab sosial, orang ramai perlu tahu sivik, kesedaran sivik sangat penting.
Orang ramai perlu mengubah ’mindset’ mereka. Dalam memastikan keselamatan diri mereka sendiri, masyarakat tidak boleh berharap pada polis semata-mata.
Saya tidak menafikan polis dibayar dengan duit orang ramai tetapi itu tidak bermakna menjadi tugas polis sepenuhnya untuk keselamatan diri kita sendiri.
S6: Tan Sri sendiri bagaimana? Adakah masih merasa selamat untuk keluar berjalan atau bersiar-siar melakukan aktiviti kegemaran Tan Sri?
TS: Saya mengakui memang kadar jenayah di Malaysia tinggi jika berdasarkan laporan Polis.
Tetapi pada masa yang sama ia tidak bererti saya merasa begitu takut sehingga saya tidak boleh keluar dari rumah, pergi melawat atau ke mana-mana tempat yang saya hendak pergi.
Saya tetap akan keluar dan bergerak bebas ke mana-mana. Ini kerana pada masa yang sama saya mengambil pendekatan memastikan keselamatan saya sendiri.
Saya akan berwaspada dan tidak leka menjaga diri saya sendiri. Saya tidak akan ambil mudah.
I would not have take my safety for granted. Contoh bila saya nak turun ke tempat letak kereta bawah tanah, saya akan melihat sama ada saya diekori atau tidak oleh mereka yang tidak saya kenali, saya akan melihat sekeliling.
Saya sudah siap sedia dengan kunci kereta saya di tangan. Tapi masyarakat kita memang ambil mudah.
Saya berharap proses pendidikan yang berterusan akan menyedarkan orang ramai. Agar rakyat Malaysia yang degil dan negatif itu dapat berubah dan bertindak positif.
S7: Ada yang kata Kerajaan belum menjalankan tindakan pencegahan jenayah yang mencukupi.
TS: Mereka ini terlalu bergantung pada Kerajaan dan berharap Kerajaan boleh menjaga keselamatan mereka.
Mana mungkin boleh 100% meletakkan pada Kerajaan. Seperti yang saya katakan di awal tadi, persiapan diri sendiri juga penting.
Memang saya tidak nafikan Kerajaan perlu mengambil langkah-langkah yang sesuai dan keperluan semasa seperti meningkatkan aktiviti rondaan di kawasan yang berisiko tinggi dan kehadiran polis yang kerap.
Dalam perkara ini sebenarnya bukan polis sahaja yang bertanggungjawab.
Orang ramai tidak faham dan melihat polis sebagai satu-satunya agen yang bertanggungjawab kepada isu-isu jenayah ini.
Bagaimana dengan peranan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)? Bukan tugas polis menyediakan lampu-lampu jalan, cctv, membersihkan semak samun di tepi jalan dan sebagainya..itu tugas PBT.
Saya harus akui peranan PBT negara kita kurang berkesan dan kurang menyerlah. Perancangan Bandar juga perlu diambil kira. Perlu ada konsep pencegahan jenayah dan bukan menggalakkan jenayah.
Contoh pembinaan jejantas yang tertutup macam kabin. Ia akan mendedahkan pengguna kepada ragut dan bahaya yang lain kerana bentuknya yang tertutup.
Dah tu ditampal pula dengan iklan-iklan besar. Ia tidak menepati ciri-ciri keselamatan untuk orang ramai.
Jadi pelbagai pihak terlibat, masyarakat jangan menuding jari kepada polis semata-mata. Buka mata dan pemikiran agar fikiran kita tidak menjadi sempit.
Pada masa yang sama pihak polis perlu mempertingkatkan kemudahan logistik yang moden dan canggih.
Penjenayah hari ini telah jauh ke depan. Peralatan mereka canggih dan lebih hebat dari pihak polis untuk melakukan syndicated crime, organized crime atau jenayah terancang…kumpulan penjenayah ini dah ada strategi mereka.
Jadi polis perlu lebih hebat. Jika keperluan ini tidak diambil kira maka orang ramai tidak boleh dipersalahkan lagi.
S8: Berdasarkan trend pengundian di portal ikdn ini, bagaimana Tan Sri membaca mentaliti pengundi yang masuk mengundi ini?
TS: Masyarakat jangan emosional.
Ekspetasi rakyat (yang mengundi di ikdn) terlalu tinggi dan berat sehingga sebahagian dari mereka telah lupa tanggungjawab untuk membantu diri mereka sendiri.
Tanggungjawab membanteras jenayah adalah tanggungjawab bersama. Kita harus rasional dalam menzahirkan pandangan dalam sesuatu. Sesetengah keputusan jawaban dalam kaji selidik ini tidak rasional.
Saya bukan hendak menyebelahi Kerajaan atau KDN, sebagai salah seorang anggota masyarakat yang mengambil berat soal keselamatan…memang tugas ini tugas polis tetapi pada akhirnya ia tidak memadai.
Masyarakat sendiri harus memainkan peranan. Kita sendiri sebagai rakyat harus bertanya diri kita sendiri, apa yang boleh kita sumbangkan pada negara kita. Pada diri kita sendiri…
--team berita ikdn